Tuesday, November 29, 2005

sentuhanseni menonton teater Jebat - Johan Manifestasi Teater Hujung Minggu Pulau Pinang 2005

Bermula pada hari pengumumannya lagi sentuhanseni telah amat meragui apa yang di dengar. Pementasan ini telah diangkat menjadi johan di dalam Manifestasi Teater Negeri Pulau Pinang (sebelum ini dikenali sebagai festival teater) pada tahun ini. Kalah dan menang itu adat pertandingan lantas ingin sentuhanseni tegaskan di sini, komentar ini tidak berasas kepada rasa tidak puas hati kepada keputusan pertandingan atau pun terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan produksi itu hatta terhadap penganjur sekalipun.

Resdong’s Production House telah mengangkat naskah Dr. Hatta Azad Khan yang berkisar mengenai kisah Tuah dan Jebat yang sering dilabelkan sebagai sebuah naskah komedi.

Tidak pasti atas tujuan apa, naskah ini telah diubah dan diadaptasi mengikut acuan kumpulan ini dan hasilnya mereka menjadi Johan. Satu pencapaian yang amat patut dibanggakan.

Di atas kemenangan itu, teater ini telah terpilih untuk terlibat di dalam program teater keliling anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Pulau Pinang selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 November yang lalu bertempat di Markas Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Butterworth.

Di dalam dewan yang boleh memuatkan seramai 200 – 300 orang penonton pada satu-satu masa ini sentuhanseni telah menyaksikan satu pementasan yang memalukan arena teater Pulau Pinang. Pementasan yang pada hemat sentuhanseni berada pada tahap sekolah rendah.

Tidak ada yang baik yang dapat ditonjolkan mengenai pementasan ini di dalam komen sentuhanseni kali ini. Bukan mencari salah tetapi salah itu dihidangkan di hadapan mata. Melainkan mata ini dipejam barulah tidak nampak kesalahan itu.

Sentuhanseni tidak akan menyentuh perihal teknikal kerana sedia maklum mengenai dewan persembahan yang tidak pernah digunakan untuk sebuah pementasan teater. Kelengkapannya juga tidak mencukupi.

Dengan barisan pelakon yang tidak bersedia untuk mengadakan pementasan tidak hairanlah jika mereka terus-terusan melakukan kesilapan. Bermula awal cerita lagi setiap pelakon kelihatan sedaya upaya mahu membuatkan penonton ketawa. Mungkin kerana beranggapan penonton bukanlah khalayak penggiat teater yang gemar berfikir dan menaakul maka mereka dihidangkan dengan lawak-lawak slapstick persis senario. Nyata sekali telahan mereka silap kerana lawak itu tidak disambut dengan gelak ketawa yang diharapkan. Hinggalah tiba satu peringkat di mana salah seorang pelakon terpaksa membuat suara Doraemon untuk membuat penonton ketawa.

Kasihan mereka, sudahlah lawak jenaka tidak diterima, perjalanan cerita yang terlalu perlahan membuatkan penonton resah di bangku. Sentuhanseni juga sedaya upaya menahan mata yang semakin lama semakin berat.

Ini diburukkan lagi dengan lakonan yang tidak menggambarkan langsung mereka ini adalah pemenang tempat pertama sebuah pertandingan teater yang apabila dikatakan johan itu, maka mereka adalah yang terbaik dan di dalam konteks ini, terbaik di Pulau Pinang untuk tahun 2005. Namun yang dihidangkan adalah juadah yang tidak cukup segalanya, garamnya, gulanya, rencahnya, rempah ratusnya pendek kata rugilah satu jam lima belas minit yang diuntukkan untuk menonton pementasan ini.

Sekiranya kesilapan-kesilapan kecil, dapatlah dimaafkan namun kesilapan yang dilakukan selayaknya dilakukan oleh kumpulan yang baru beberapa hari membuat keputusan untuk berteater.

Suara pelakon yang tidak jelas, disiplin pentas yang tidak diambil berat, keluar masuk pelakon yang tidak tersusun dan yang paling jelas, pelakon tidak in the mood untuk berlakon. Mereka hanya melakukan apa yang disuruh oleh pengarah tanpa memahami gerak tubuh dan dialog yang keluar dari mulut mereka.

Timbul tanda tanya bagaimana juri pada pertandingan lalu mengangkat pementasan ini sebagai yang terbaik sedangkan ini hasilnya? Apa yang dilihat oleh para juri? Apa pula yang dinilai mereka? Oh, yang lepas itu lepaskanlah ia…

Sentuhanseni berasa amat berdukacita sekiranya kumpulan ini akan mewakili Pulau Pinang ke peringkat seterusnya di dalam Manifestasi Teater 2005. Melainkan kumpulan ini memperbetulkan persepsi mereka mengenai persembahan teater dan menyedari kekurangan yang ada serta memperbetulkannya, selain itu, mereka hanya akan memalukan diri mereka sendiri, kumpulan mereka dan penggiat-penggiat teater Pulau Pinang. Manakan tidak, sekiranya pementasan daripada kumpulan yang bergelar johan sebegini buruk, bagaimana pula dengan naib johan, ketiga dan seterusnya?

Kasihan…
Kasihan….
Sungguh kasihan…
Perlukah dibiarkan luncai terjun dengan labu-labunya?

1 comment:

Pegawai Khalwat said...

Dalam..... dalam.....
Bisa.... bisa.....