Tuesday, November 30, 2010

Pasca Natrah Musim ke 2 di Istana Budaya

Apabila sesuatu naskah itu dipentaskan berkali-kali, nyatanya naskah itu berkualiti lalu mendapat permintaan ramai untuk dipentaskan semula.

Apabila pementasan semula itu dilakukan oleh produksi yang sama dengan pementasan sebelumnya, pastinya kita sebagai penonton akan ternantikan hasil yang lebih baik dan kelainan atau perbezaan daripada pementasan sebelumnya.

Saya menonton Natrah buat kali kedua malam tadi (29 November). Saya telah menonton Natrah edisi pertama dan pada mulanya saya tidak berniat untuk menonton edisi kedua ini kerana pemikiran negative saya mengatakan yang tidak akan ada banyak perbezaan daripada edisi yang sebelum ini. Apatah lagi setelah dihangatkan dengan kontroversi tidak perlu antara pengarah dan penulis buku yang dibesar-besarkan di Melodi.

Namun ajakan teman yang datang jauh dari Singapura menggagahkan juga saya meredah kesesakan Jalan Tun Razak untuk tiba di Istana Budaya untuk Natrah dan produksinya.

Seperti biasa pementasan tidak bermula jam 8.30 malam – susah sangat nak menepati masa – dan dimulakan dengan pengacara funfair membuat pengumuman. Maaflah, saya rasa ini pementasan di IB jadi pengumumannya juga perlulah bertaraf dunia seperti mana pementasannya. Ini bukan tidak ada beza, malah lebih teruk dari pengumuman sebelum pementasan teater-teater amatur. Semoga perkara remeh dan kecil seperti ini akan lebih diambil berat oleh IB di pementasan akan datang.

Apa yang tidak seronoknya menonton kali kedua ialah kita telah tahu unsur kekaguman yang disajikan. Jadi, buah mula Natrah kali ini tidak dapat menarik perhatian saya. Saya ingat semasa edisi pertama, sebaik Natrah (di usia 80) melontarkan monolog pertama, bulu roma saya berdiri dan saya dapat rasa deritanya. Kali ini, ia hanyalah lontaran vocal, jiwa sekejap ada dan sekejap tiada. Lalu unsur kekaguman itu berlalu begitu sahaja.

Pada edisi ini penggunaan slide dan paparan pada skrin bertambah tapi saya rasakan kebanyakkannya tidak perlu. Babak penyerahan Maria kepada Aminah oleh Adeline seolah dirakam di atas pentas atau dalam studio kosong. Baiklah lakonkan terus di pentas, kerana selalunya jika rakaman di paparkan di skrin, rakaman itu harus mempunyai nilai yang tidak dapat disediakan di pentas seperti bunyi angin, suara alam, pendek kata keadaan sebenar.

Perjalanan cerita seterusnya bergerak agak perlahan. Adakala meleret-leret. Skrin penuh dengan imejan-imejan yang pada saya tidak membantu langsung untuk menaikkan mood cerita kerana tempo cerita semakin menurun.

Ketegangan yang bermula setelah Aminah dan Natrah tiba di Singapura juga tidak mencapai rasa tegang itu. Pelakon seolah-olah melakukan watak mereka, bukan melakonkan tapi kredit perlu diberikan pada Umi Aida dan Ziela Jalil, juga pembawa watak Odah yang cuba mengekalkan tempo pementasan.

Saya semakin resah, letih duduk dan tertanya-tanya bila intermission. Sekali sekala saya cuba melelapkan mata dan berkalih duduk dan keadaan tempat duduk IB yang sempit memang tidak membantu.

Tiba-tiba ada irama Hindustan berkumandang. Terbeliak biji mata saya bila Mansur Adabi dan Natrah menari Hindustan dengan iringan orang kampung. Sebijik macam filem Hindustan. Koreografinya pun sangat-sangat familiar. Entah dari filem mana di kutip saya tak pasti kerana saya bukan peminat Hindustan tapi memang yang di pentas itu adalah tarian Hindustan yang diselang seli dengan zapin dan inang berlatarkan irama Hindustan. Sejauhmana ia relevan dengan period cerita ini, saya kurang pasti.

Sebaik lagu Hindustan selesai, saya yakin, Natrah kali ini sudah hilang serinya. Sudah tidak ada nilai kekaguman sejarah, sudah hilang konfrantasi isu hingga ke tahap kalau dikatakan ia bertemakan cinta sepasang kekasih pun saya rasa itu tidak jelas. Natrah kali ini sudah terlalu komersial.

Tetapi saya masih berharap pada rasa semangat dan ketegangan selepas Aminah kalah di mahkamah dan Natrah diserahkan kembali kepada keluarga kandungnya. Saya ingat pada edisi pertama, saya hampir menitiskan air mata pada kala seisi Singapura bersatu menentang keputusan mahkamah.

Edisi kali ini suasananya longgar. Remy Ishak tiba-tiba lost dan menjadi Remy Ishak, bukan Mansur Adabi. Semangat, kemarahan, suara-suara lantang lebih kepada lontaran suara pada pitching tinggi tanpa jiwa. Babak rusuhan yang menyusuli juga tidak membantu, serba tak kena, koreografi seakan untuk pementasan amatur.

Terus saya mula menghitung setiap detik bila pementasan ini akan berakhir sambil sekali sekala menggosok-gosok hidung yang gatal terhidu asap dry ice yang banyak.

Pengakhiran cerita saya rasa kali ini lebih jelas meletakkan Natrah di tengah persimpangan. Mungkin mengambil kira sensitiviti yang telah disuarakan pada edisi lalu tapi pada saya yang sebelum ini lebih berkesan. Yang kali ini dengan pentas dibahagikan kepada dua, sebelah Gereja dan sebelah lagi Masjid, pada saya sangat direct, kurang sikit nilai artistiknya.

Edisi kali ini membuatkan saya pulang kecewa. Namun saya suka dengan perkembangan lakonan Remy Ishak secara keseluruhan kerana kali ini nampak jiwa Mansur Adabi dan permainan-permainan watak yang kukuh. Maya Karin juga menunjukkan perkembangan dan perubahan juga kematangan berbanding edisi sebelum ini. Ramai pelakon-pelakon yang ada nama di tampilkan kali ini. Ada yang bagus, ada yang biasa saja. Saya suka dengan kemampuan Nabila Huda yang memang tidak disangka, Lyana Jasmay diberikan watak yang hampir sama dengan dirinya. Aaron Aziz, tidak ada apa yang menarik kecuali tali leher yang dipakainya.

Harapnya tidak ada edisi ketiga. Rasanya tahun ini IB banyak membuat pementasan semula. Akan datang Siti di Alam Fantasi, juga pementasan semula. Agaknya sudah tidak ada lagi karya-karya bermutu yang boleh dipentaskan, seperti tidak adanya air di tandas dan surau IB 

Tuesday, November 23, 2010

aku ada blog?? OMG!!

Aku tak lupa pun aku ada blog tapi sibuk sangat dengan kerja. FB nampak lebih mudah dan cepat untuk update mengenai diri dan persekitaran.

Lama juga tak berkunjung ke blog teman-teman, entah ke link aku pun dah kena delete hehe

what happen apa terjadi?

sejak balik dari Raya Puasa harituh, memang tak sempat nak berehat sangat. Weekend pun kerja dan sekarang aku dah kembali aktif bersukan jadi memang tak ada waktu yang terluang pun nak blogging.

Nak curi-curi time blogging kat ofis pun tak sempat (tapi FB sempat je kan) :D

Apa yang tak sempat sangat tuh? Kerjalah, paperwork sana sini, handle artis itu ini, tolerate dengan karenah dan perangai manusia yang pelbagai.

Ada masa aku rasa macam nak crack under pressure dah tapi Alhamdulillah, semua berjalan lancar.

Dan hari ini, akhirnya aku dapat bernyawa dengan tenang semula. Next projek pun bulan 5, so sempat honeymoon beberapa tempat :D

Nanti aku update lagi ye...