Tuesday, November 29, 2005

sentuhanseni menonton teater Cheet Chat

Ini bukan promosi produk TAS@Greenhall malah sentuhanseni tidak terlibat langsung dengan pembikinannya cuma melakukan tanggungjawab sebagai agen publisiti di TAS@Greenhall.

Cheet Chat adalah produk TAS@Greenhall dan De Silva Theater. Pementasan ini merupakan sebuah komedi ala-ala Comedy Court di TAS@Bangsar dan menampilkan penggiat teater yang paling aktif di Pulau Pinang - Mark Beau sebagai pengarah, penulis skrip dan pelakon. Kali ini Mark Beau dibantu oleh Jannarthani yang baru-baru ini di dalam Manifestasi Teater Hujung Minggu Pulau Pinang 2005 telah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan.

Sememangnya pementasan yang diberikan sungguh bertenaga. Komedi yang menjadi intipati pementasan ini sangat menjadi. Lantas tidak hairanlah pementasan ini mencatatkan full house untuk kedua-dua pementasannya. Tidak seperti pementasan teater Melayu yang sentiasa ingin mendidik dengan teater percuma untuk mendapatkan penonton.

Pada dasarnya Cheet Chat hanyalah kisah dua wanita pada usia awal 40-an bersembang sesama mereka. Tidak ada substance yang jelas cumanya setiap isu yang dikupas diselikan dengan unsur komedi lantas mesej yang ingin disampaikan berkesan. sentuhanseni teringat pesanan lecturer teater semasa menuntut dahulu iaitu Asso. Prof. Rey Buono - komedi adalah medium yang paling baik untuk menyampaikan mesej-mesej keras. Setuju. Antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai ketuhanan (kristian terutamanya), kasih ibu, kebebasan dan suara wanita, juga hubungan antara kaum.

Pementasan yang durasinya hanyalah sejam ini berjaya membuatkan penonton ketawa dan ada yang hingga mengalirkan air mata kesan daripada lakonan mereka. Jannarthani memang layak untuk mendapat anugerah yang diperolehinya itu. Lakonannya yang bersahaja dan jelas beliau faham apa yang beliau lakukan di pentas. Namun terdapat beberapa kelemahan seperti artikulasinya yang kurang jelas dan fokus yang tidak teratur. Lantas ada kala dia kelihatan seperti cuba mengingati apa yang perlu dilakukannya selepas setiap babak.

Mark Beau pula sekali lagi tampil di pentas TAS@Greenhall membawakan watak perempuan. Akhirnya kita peminat teater di sini terpaksa menerima hakikat yang watak perempuan sememangnya sebati dengan dia dan sangat berkesan. Ini mengingatkan sentuhanseni kepada Alan Perrera dan rakannya yang sering membawakan watak perempuan dalam Comedy Court mereka. Pengalaman banyak membantu Mark untuk mengawal tempo pementasan dan lakonan pasangannya. Pada kala Jannar tersasul atau tersilap, Mark cepat memperbaki keadaan dengan improvisasi yang spontan. Sangat mengkagumkan. Sukar untuk dicari pelakon seperti ini.

Teknikal tidak banyak membantu pementasan ini. Malah sentuhanseni berani berkata tanpa teknikal pun pementasan ini sudah hidup. Namun pujian tetap diberikan kepada produksi yang cuma terdiri daripada 4 orang sahaja ini.

Secara keseluruhannya, sentuhanseni amat berpuas hati menonton teater ini dan berharap akan lebih ramai lagi orang Melayu akan menghargai pementasan-pementasan berkualiti seperti ini bukan hanya menunggu pementasan percuma sahaja. Diharap juga pengarah-pengarah muda di Pulau Pinang akan lebih kritis, kreatif dan inovatif dalam menyalurkan pendapat dan suara mereka kepada masyarakat.

Comedy rules!!!!

3 comments:

Pegawai Khalwat said...

Makan dalam.... makan dalam......

artisticklytouch said...

Kos pembikinan Cheet Chat hanyalah dalam range RM 500 - RM 700 sahaja. Kos pembikinan Jebat lebih daripada itu (aku akan rujuk pihak berwajib untuk exact figure) namun pementasan Jebat yang dikatakan komedi itu tak kebabomp pun?

Hmmmm.... Marketing kot????

Pegawai Khalwat said...

Aku ni susah nak komen pasal Jebat dengan Cheet Chat ni. Pada aku, nawaitu yang menentukan hala tuju sesuatu produksi itu.

Kalau berkiblatkan syok sendiri, syok sendirilah jadinya.

Kalau berkiblatkan wang, duitlah dapatnya.

Kalau berkiblatkan kedua-dua? Boleh juga tapi nawaitu haruslah betul-betul pada dua-dua tu.

Ini termasuklah apa sahaja nawaitu ketika membuat sesuatu pementasan itu termasuklah mencari jodoh. (Banyak kes dah ni)