Monday, June 07, 2010

The Crucible oleh Amar V. Asyraf

Sebulan sebelum pementasan saya telah diingatkan mengenai pementasan ini. Dalam tempoh sebulan itu juga berulang-ulang kali lagi peringatan diberikan kepada saya. Saya kira produksi ini begitu bersungguh dengan pementasan mereka. Baguslah, dengan ada ‘mukabuku’ konsep pemasaran produksi teater tempatan bergerak beberapa tapak ke hadapan.

Teater The Crucible ini pada asalnya adalah karya Arthur Miller yang berkisar mengenai kes penghakiman terhadap golongan yang mengamalkan sihir di Salem pada tahun 1692. Pementasan kali ini adalah di bawah naugan ASWARA bersempena dengan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) pelajar Diploma Seni Teater. Untuk pementasan ini, pelajar yang dinilai adalah pengarahnya – Amar V. Asyraf, sinografer dan dua pelakon utama.

Rugi siapa yang tak pergi tengok.

Masuk ke dewan, pentas sudah bersedia dengan ‘preset’. Sebuah suggestive kisah yang menarik dengan lampu suram dan platform kosong yang hanya dihuni bangku panjang di tengah. Tapi saya tidak suka ‘house music’nya yang terlalu moden. Pada saya mungkin suasana hingar di dalam mahkamah sebelum ketibaan tuan hakim akan lebih menarik. Dengan kedudukan pentas arena, akan terasa seperti kita menghadiri sebuah kes yang besar.

Buah mula yang agak bertenaga dan keras tapi tak faham biji butir yang diucapkan. Saya berdoa agar dua pelakon yang sedang kecoh di atas pentas itu tidak dinilai tapi malang sekali mereka berdua dinilai. Saya suka tenaganya dan lakonannya tapi pengucapan mereka menggagalkan babak pertama, buah mula yang sangat berharga. Jadi saya cuma fokus pada pergerakan mereka atas pentas sebab ia sangat menarik. Koreografi yang segar dan ‘sharp’, seiring dengan tenaga. Lantas, sedikit sebanyak ia mengekalkan tempo cerita ini.

Bermula dari sini, saya menghadapi masalah memahami jalan cerita kerana dua pelakon ini yang sentiasa berdialog macam keretapi laju Jepun. Lajunya kalau ada speed trap mesti kantoi. Ditambah pula mereka berdua bertukar-tukar watak. Semua watak kelihatan sama kecuali beberapa ketika sahaja tapi itupun ia tidak konsisten.

Masuk John Practor, ah, pada mulanya saya suka tapi kemudian cakapnya menjadi meleret dan monotone. Marah macam tu, sedih macam tu, bingung macam tu, sama je. Saya terfikir, semasa dia mengucapkan dialog itu, dia sedar tidak dia berada di babak mana? Pada satu babak dalam mahkamah, dia bercakap seolah-olah dia berada di pantai sedang menikmati cuti musim panas. Dua tiga kali saya hampir terlelap semasa dia berdialog.

Saya suka tuan hakim. Jelas pengucapannya dan sentiasa menyelamatkan tempo. Senang cerita, secara keseluruhannya, lakonan mereka bagus cuma pengucapan dialog yang mencacatkan.

Ketiga-tiga pelakon mempunyai bakat yang tersendiri tetapi penyesuaian watak dengan cerita itu nampaknya tidak kena. Atau mungkin terjemahan watak itu yang tak kena. Konsep seorang pelakon membawakan lebih dari satu watak adalah satu tindakan berani tetapi pada saya ia terlalu berisiko untuk sebuah pementasan yang dinilai. Ini kerana untuk sebuah pementasan yang dinilai, segala benda dari sekecil hingga ke sebesar mana pun akan dilihat dan ditafsir. Hatta, kesilapan memakai tutup kepala juga boleh menyebabkan markah berkurang.

Cukuplah pada pelakon, rasanya dengan lebih pementasan, mereka akan lebih berpengalaman dan muncul sebagai pelapis seni teater Negara suatu hari nanti.

Pengarahan dan Sinografi untuk sebuah pementasan bertaraf pelajar Diploma, saya kira karya mereka kali ini adalah sangat bagus dan menlangkaui jangkaan. Saya pernah menyaksikan karya pengarah ini beberapa bulan lepas dan saya terpikat dengan gaya pengarahannya. Kali ini saya sudah dapat melihat ‘signature’ karyanya dan saya kira ia sangat segar untuk khalayak teater Malaysia. Pada saya, pengarah dan sinografer sudah bersedia untuk memasarkan produk mereka di luar kampus.

Pengarahan saya lihat kurang kecacatannya malah boleh dikatakan pengarah dan sinografer sangat teliti dalam memastikan nilai artistik pementasan ini dapat membantu jalan cerita. Ada beberapa babak yang agak pelik bila lakonan berlaku dalam gelap, sama ada itu masalah teknikal atau memang dirancang sebegitu, entahlah. Kalau dirancang, boleh juga saya katakan ia telah membuat saya mentafsir sesuatu.

Cuma pengarah perlu lebih sensitif dalam aspek lakonan. Ini kerana, pengarah juga ada tanggungjawabnya dalam memastikan pelakon dapat membawakan watak dengan berkesan dan tidak hilang arah. Hanya pelakon yang benar-benar bersedia sahaja yang wajar kita berikan tanggungjawab menggalas lebih daripada satu watak.
Ini cubaan yang baik. Terkejut juga bila mula mengetahui naskah yang dipilih.

Namun produksi ini telah membuktikan yang tidak ada perkara mustahil, mahu seribu daya, seribu upaya. Secara keseluruhannya, produksi ini saya kira memberikan harapan kepada seni teater di Malaysia, andai kata diberi peluang lagi, saya kira para pelakon itu boleh memperbaiki lakonan mereka. Mungkin pengarah mahu mementaskan karya ini dengan lengkap di masa depan?

6 comments:

Pegawai Khalwat said...

Mungkin juga itu tren lakonan sesetengah pelajar di Aswara terutama bila melakonkan watak naskhah dari Barat.

Aku pernah menghadapi masalah yang serupa bila menonton Tartuffe beberapa lama yang lepas.

Aku harapkan mereka yang keluar ini nanti mampu menyemarakkan teater negara macam yang hang kata. Tapi semarakkanlah kat negeri lain sama. Asyik kat KL saja.

Aloy Paradoks said...

aku amat selesa dengan pengarahan Amar.. bercakap tentang masalah gelap,, aku cuma ingin berkongsi,, aku baru mengarahkan Blackout dan separuh dari show itu adalah blackout dan gelap langsung tiada cahaya... cuma sekurangnya amar masih bermain dengan lilin...

Aloy Paradoks said...

opss,, aku terpanggil utk sedikit menjawab apa yg dikatakan Tuan Pegwai Khalwat walaupun tidak diminta begitu... ada beberapa faktor yang menghalang org mcm kami utk bergerak keluar dari KL...

aku pernah cuba tahun lepas utk buat road teater ke beberapa negeri.. namun masalah budget menghalang, tidak seperti pergerakan lain yg ditaja,, kami tidak ditaja oleh sesiapa, masalah nak bayar duit bas, penginapan, dan panggung menghalang.

Mak Su said...

salam singgah...... buat di kl di mana ek? saya tak pernah seumur hidup ni nengok teater... tertarik gaks

Pegawai Khalwat said...

Alah Aloy, aku bukan suruh pi luar KL la ni.

Maksud aku, graduan Aswara bila keluar dan dapat cari rezeki di tempat lain, harapnya dapat la berbakti untuk bangunkan teater di negeri tu.

Bab tour dan bajet tu, aku pun hadapi masalah yang sama. Paham sangat dah.

artisticklytouch said...

PK:

aku rasa kalau naskah telah dialih bahasakan sebaiknya ikut ritma bahasa itu, bukan slang.

aloy:
aku suka gelap itu, terus mataku menyala dan akalku menafsir

PK & Aloy:
mungkin korang perlukan pengurus acara yang kental. bawa yang kecil2 dulu. sapa nak tumpang kena bayar hua hua hua

maksu:
nanti kalau ada lagi saya bagitau maksu. tunggu PK punya Dusta pada skala 1 hingga 10.